Isteri Berpantang Sendirian

Isteri berpantang sendirian di rumah? Ya, memang boleh tapi isteri kena bersedia seawalnya. Berpantang sendirian ni tak boleh malas atau ala kadar sahaja. Bimbang kesannya di kemudian hari.

Banyak kes ibu lepas bersalin jadi meroyan dan emosi tidak stabil sehingga diri tidak terurus dan anak pun terabai. Dalam hal ini, suami memainkan peranan yang sangat penting.

Pastikan suami seorang yang ringan tulang nak bantu isteri dalam pantang. Kedua dua suami isteri kena bersedia fizikal dan mental.

Sebelum bersalin, semuanya indah belaka. Tak sabar nak jaga baby, tak sabar nak dukung baby. Hakikat selepas bersalin tak sama seperti yang kita bayangkan. Ramai yang mengadu, suami berubah selepas bersalin.

Pertamanya, suami tak faham kesakitan yang isteri tanggung. Isteri banyak berehat dan jaga anak. Bila suami kurang masa bermanja dan bersama isteri, suami turut jadi stress dan berubah.

Antara masalah dari suami yang sering terjadi adalah suami tak membantu, suami biarkan isteri uruskan hal rumah sorang sorang, suami hadap gadget je, suami tak ada masa nak dengar luahan isteri.

Ada sesetengah orang rasa hal ini kecil sahaja. Tapi hal yang kecil boleh jadi besar jika diambil mudah. Jadi sebaiknya rancang betul betul jika nak berpantang sendirian.

Kepada ibu yang bakal melahirkan anak sulung, ataupun dah pernah bersalin sebelum ni, baca entri ni dan ambil tips yang berguna. Sebab setiap kali bersalin, pengalaman berbeza beza.

Banyak kesakitan yang bakal dihadapi, sakit bersalin, sakit rengat, lepastu sembelit. Luka pulak tak cantik, terbuka semula sampai kena jahit balik. Kalau anak ada demam kuning, hari hari kena pergi klinik. Anak menyusu tak lekap elok, kena nipple crack dan berdarah. Dah kena pam susu untuk anak pula. Kalau tak pam, kena bengkak susu.

Begitulah, banyak kebarangkalian yang kita tak jangka. Semoga Allah aturkan dan mudahkan urusan semuanya.

Pesanan Buat Isteri

Kepada isteri yang tiada pilihan melainkan buat semuanya berseorangan, anda seorang yang kuat. Jangan layankan perasaan stress dan emosi. Tolong jaga dan buat setiap satu tips ni ya:

1.Susun jadual

Bermula dari pagi, lepas uruskan anak, mandikan anak dan susukan anak, ibu cuba berehat sekejap dan sarapan dahulu. Pastikan bekalan makanan mencukupi dan berkhasiat. Sekurang kurangnya alas perut dengan minum susu dan oat supaya perut tak masuk angin. Jangan mandi pagi sangat sebab sejuk. Ibu boleh mandi jam 8 pagi semasa anak sedang tidur.

2. Luah pada suami

Kalau suami tak beri kerjasama, ambil mudah dan biarkan anda sendirian, isteri kena tegur, luah dan nasihat. Kadang kadang suami tak perasan dan tak sedar. Jadi isteri kena beritahu, kalau suami masih tidak berubah, bersabarlah. Beri dia masa, dan berdoa. Jika isteri tak tahan sangat, tulis lah surat kepada suami dan luahkan segala isi hati. Sungguhpun dia masih tak endah, sekurang kurangnya dia baca dan isteri dah dapat kepuasan sebab sudah meluahkan. InshaaAllah Allah bantu.

3. Buat yang termampu

Isteri jangan terlalu ‘push’ diri untuk buat semua benda. Pada 2 minggu pertama selepas bersalin, memang badan rasa lemah dan masih belum hilang letih. Banyakkan berehat dan buat kerja yang termampu dan perlu sahaja. Buat perlahan lahan dan jangan terlalu fikir yang negatif. Cuba pulihkan semangat sendiri sebab kita kena kuat demi anak anak.

4. Sediakan barang dapur dan vitamin 

Sebelum bersalin, pastikan barang dapur cukup dan segala keperluan seperti vitamin, jamu, susu, buah buahan semua cukup sebab ada masanya ibu tak sempat nak makan. Baru sempat masak, anak dah terjaga. Tak sempat nak makan lagi, tapi badan dah menggigil lapar. Masa ni lah nak makan makanan express seperti buah dan susu.

5. Berdoa

Part ni paling penting. Memang selepas bersalin, darah nifas tak habis keluar lagi dan tak boleh nak melakukan ibadah. Sebab itulah macam macam bisikan yang kita akan hadapi selama tempoh berpantang. Dan masa ni lah sangat penting untuk kita kawal emosi untuk mengelakkan dari meroyan. Jangan tinggal zikrullah dan berdoalah supaya dipermudahkan oleh-Nya.

6. Lumur Minyak Panas

Jika ibu tak dapat nak berehat sangat, pastikan ibu lumurkan minyak satu badan dan badan sentiasa panas. Pakai bengkung dan stokin untuk elakkan badan dari masuk angin. Jangan abaikan badan kerana khuatir bentan.

Pesanan Buat Suami

1. Sediakan Keperluan

Kepada semua suami, jaga dan hargailah isteri anda. Sebab lelaki takkan dapat rasa kepenatan dan pengorbanan seorang isteri. Janganlah terlalu bergantung pada isteri untuk buat semuanya. Jagalah emosi isteri, luaran dan dalaman. Isteri juga perlukan perhatian suami.

2. Wang Komitmen

Jika rasa terbeban dan tak mampu nak melakukan segala tugas, upah lah pembantu untuk bantu isteri dirumah. Sekurang kurangnya isteri ada masa untuk berehat tanpa memikirkan kerja rumah.

3. Hantar isteri balik kampung

Kalau suami tidak berkemampuan untuk upah pembantu, hantarlah isteri balik kampung supaya ada orang yang boleh membantu terutama pada awal 2 minggu pertama. Janganlah biarkan isteri terkapai kapai keseorangan.

Suami tolong pantau isteri selepas bersalin. Keperluan makanan dan juga tangki emosi isteri terutama sepanjang mengandung, berpantang, dan menyusu. Semoga rumahtangga yang dibina sentiasa bahagia dan dirahmatiNya.